IPOH 24 Julai – Seorang pekerja stesen minyak dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan salah guna dan curi kad minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM12,066 minggu lalu.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Thur Aqil Zaharuddin, 20, mengaku bersalah sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai juruwang didapati menyalahgunakan harta iaitu kad inden Petronas milik PDRM berjumlah RM12,066 di Stesen Minyak Petronas Kampung Simee di sini pada 3 hingga 18 Julai lalu.

Dia turut didakwa mencuri kad tersebut yang disimpan dalam beg simpanan PMP (petrol, minyak, pelincir) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di dalam stesen minyak berkenaan.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Thangaveloo turut didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Siti Hafiza menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap lelaki terbabit berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE