MELETAK tapak dan menembusi pasaran kek lapis di Semenanjung Malaysia bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi makanan ini sudahpun menjadi produk signature Negeri Bumi Kenyalang, Sarawak.

SONY DSC

“Kek lapis ini pun sebenarnya berasal dari Indonesia. Ia diolah semula oleh pengusaha di Sarawak. Bagi saya, tiada salahnya untuk kita menghasilkan dan memasarkan kek ini di Semenanjung Malaysia pula,” kata Akmal ketika ditemui Suara Perak.

Bagaimanapun, menurutnya, impian tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada kumpulan kecil pekerjanya yang sudah diibaratkan sebagai ahli keluarganya sendiri.

Kesinambungan Harga, Bahan Mentah dan Kesegaran

Dengan adanya produk Kek Lapis Utara Fiska yang dikeluarkan di Trong, dekat Taiping, Akmal berkata, tidak perlu lagi orang Semenanjung terbang jauh ke Sarawak untuk mendapatkan kek lapis dalam kuantiti yang banyak.

“Lagipun, kos penghantaran kek lapis ke Semenanjung agak mahal,” ujarnya yang ditemani isteri, Wan Noor Husna Wan Md Mokhtar, 29.

Meskipun begitu, anak muda itu tidak dapat lari daripada menerima kecaman dan tanggapan orang ramai yang sering membandingkan rasa kek lapis keluaran Utara Perak itu dengan kek lapis Sarawak.

“Itulah antara cabaran yang kami perlu hadapi, iaitu keraguan sesetengah pelanggan mengenai rasa kek keluaran kami. Namun, Alhamdulillah, ramai yang mengulangi tempahan dalam kuantiti besar setelah mencubanya,” kata beliau.

Menurut Akmal, rahsia kelebihan rasa Kek Lapis Utara ialah penggunaan bahan mentah yang bermutu selain kesegaran kek yang baharu dibakar berbanding Kek Lapis Sarawak.

“Pada hakikatnya, rata-rata pelanggan kami mengakui kek lapis keluaran Fiska lebih sedap kerana ia segar. Kami hanya menggunakan telur gred A dari ladang telur di Pecah Batu, Trong sahaja, selain bahan-bahan lain yang bermutu tinggi.

“Berdasarkan pengalaman saya, ia berbeza dengan pengeluaran di Sarawak yang mempunyai bekalan bahan mentah yang sangat terhad. Malah, permintaan yang tinggi menyebabkan para pengilang terpaksa menggunakan semua jenis telur termasuk gred E,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Trong sebagai lokasi pengeluaran dan pemasaran kek lapisnya, Akmal memberitahu, kawasan itu bertepatan dengan bekalan dan keperluan bahan mentah kek lapis.

Katanya, Trong amat strategik kerana berdekatan dengan tempat pengeluaran telur ayam dan mempunyai tenaga kerja yang bersesuaian.

“Kita membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di sini. Apabila harga bahan mentah murah, maka harga kek lapis ini pun lebih berpatutan,” ujarnya.

Maklum Balas Positif, Fiska Tawar Perisa Istimewa
SONY DSC

Dalam pada itu, ibu kepada Akmal yang turut menjadi pengusaha bersama Kek Lapis Utara Fiska, Noraini Bolhaji, berkata, syarikat itu merancang untuk mengeluarkan kek lapis berperisa istimewa bagi memenuhi permintaan ramai.

Wanita berusia 53 tahun itu memberitahu, mengikut perancangan, perisa durian dan rempah menjadi pilihan dalam senarai menu kek lapis keluarannya.

“Perisa Cadbury, Oreo, Masam Manis dan Pelangi mendapat permintaan tinggi Insya-Allah, kami akan mempelbagaikan perisanya dari semasa ke semasa mengikut kehendak pasaran,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Tempahan Kek Lapis dan Penghantaran

Akmal memberitahu, sejak akhir-akhir ini, semakin ramai yang menjadikan manisan istimewa itu sebagai juadah di majlis perkahwinan dan perayaan, ditambah pula cara penghantarannya yang mudah dan murah.

“Ada yang menempah dari Pulau Pinang, Pahang dan Johor dan kami menggunakan khidmat penghantaran menggunakan bas ekspres kerana kosnya yang lebih murah berbanding perkhidmatan pos.

“Trend kini juga mendapati kek lapis ini agak popular sebagai pengganti telur rebus yang dimasukkan ke dalam beg cenderahati bagi majlis kahwin,” katanya.
SONY DSC

Bagi yang berminat untuk mendapatkan Kek Lapis Utara Fiska, produk itu boleh diperolehi di No 7A, Susur Perdana Taman Trong Perdana, Trong, Taiping, atau menghubungi 016-484-0824 (Akmal) atau e-mel fiskakeklapis@gmail.com atau layari laman Fiska Kek Lapis di Facebook dan Instagram.