PUTRAJAYA: Isu projek pembangunan Taman Rimba Kiara (TRK) akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan sama ada projek dibatalkan dengan sejumlah pampasan dibayar kepada pemaju ataupun diteruskan dengan cadangan saiz projek dikecilkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata kertas cadangan penyelesaian isu TRK akan disiapkan dalam tempoh sebulan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Kertas Kabinet kini sedang disiapkan kementerian saya untuk diedarkan kepada semua kementerian bagi mendapat ulasan dan komen, jadi proses ini dijangka makan masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum kita dapat bentang ke Kabinet.

“Ada juga pihak yang kata isu ini turut memerlukan pandangan Peguam Negara (Tommy Thomas), tetapi sememangnya ketika mesyuarat Kabinet itu nanti pandangan dan nasihat Peguam Negara turut diambil kira dan ini adalah prosedur biasa,” katanya pada sidang media khas berhubung isu TRK di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Segambut yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, berkata isu projek pembangunan di TRK perlu diteliti oleh Peguam Negara sebelum ia dibawa untuk diputuskan Kabinet.

Hannah sebelum ini turut menolak cadangan Khalid yang bersetuju saiz projek pembangunan TRK dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu dikecilkan.

Selain itu Khalid berkata, sekiranya projek itu dibatalkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar ganti rugi sehingga RM150 juta kepada pemaju dan langkah ini adalah satu pembaziran kepada dana awam.

“Saya bukan mahu melindungi hak pemaju seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi saya mahu menyelamatkan dana awam dan tidak mahu duit DBKL digunakan sewenang-wenangnya. Duit DBKL bukan milik saya, yang boleh digunakan sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata, persetujuan rundingan dengan pemaju adalah penyelesaian terbaik yang mana mereka sudah bersetuju mengurangkan sebanyak 50 peratus dari pelan pembangunan asal mereka.

“Dari tanah asal seluas 4.8 hektar milik pemaju, mereka sanggup kembalikan 1.6 hektar untuk rumah panjang dan ruang untuk pembangunan iaitu 3.2 hektar, separuh daripadanya dikembalikan kepada taman itu.

“Malah dari perintah pembangunan asal iaitu pembinaan lapan blok dengan ketinggian 51 tingkat, pemaju setuju untuk kurangkan kepada empat blok dengan ketinggian 45 tingkat,” katanya.

Khalid berkata, pemaju juga sudah memberi jaminan akan membangunkan rumah untuk penduduk rumah panjang yang dibina secara percuma untuk 100 keluarga dan 100 lagi unit akan dijual dengan harga 50 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

“Oleh itu, DBKL dapat jimat duit mereka, pihak penduduk dapat semula 1.6 hektar kawasan taman dan kawasan pembangunan tidak terjejas yang mana hanya mengambil sebahagian kawasan tempat letak kereta taman itu dan sebahagian kawasan rumah panjang,” katanya.

Dalam pada itu Khalid berkata, beliau turut kesal dengan kenyataan Datuk S Ambiga dan Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel yang sering mengeluarkan kenyataan menentang projek pembangunan itu tanpa mendengar penjelasan dari pihak kementerian.

“Mereka tidak pernah sekali pun jumpa bertemu saya dan tiba-tiba mereka membantai projek ini, seharusnya mereka datang berjumpa saya dulu dan dengar penerangan.. walhal saya berkawan baik dengan Ambiga,” katanya – berita harian