IPOH: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gunakan inisiatif kad Rakan Maritim (RAKAM) sebagai platform mengeratkan hubungan di antara nelayan laut dalam dengan agensi penguatkuasaan maritim negara.

 

Asisten Ketua Staf Operai Markas Pemerintah Armada TLDM, Kapten Azman Rabani berkata, RAKAM akan menjadi medium untuk menukar persepsi negatif nelayan-nelayan laut dalam di negara ini terhadap agensi penguatkuasaan maritim negara menjadi lebih positif.

 

Menurut beliau, ketika ini nelayan-nelayan laut dalam beranggapan penguatkuasa maritime hanya mahu menangkap mereka sahaja.

 

“Tetapi hakikatnya bukan begitu, sebenarnya kita nak membantu menjaga keselamatan mereka ketika sedang menangkap ikan dan sebagainya, kita mahu mereka berasa gembira bila melihat kapal atau bot penguatkuasa maritim ini,” katanya dalam satu sidang media sempena majlis dialog bersama persatuan-persatuan pantai barat Semenangjung Malaysia di sini pada Selasa.

 

Tambah beliau, kad yang diperkenalkan di bawah program RAKAM oleh Kementerian Pertahanan itu mengandungi nombor penting atau hotline membabitkan jabatan penguatkuasaan maritim sekiranya berlaku kecemasan di laut.

 

Azman berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan nelayan-nelayan laut dalam ini sekerap mungkin, bagi berkongsi maklumat atau berita-berita melibatkan komuniti maritim.
Beliau memberitahu, setakat ini kira-kira 300 nelayan-nelayan laut dalam di pantai barat Semenanjung Malaysia telah pun memiliki kad RAKAM.
“Ini sebenarnya bertujuan untuk mendidik nelayan-nelayan supaya sekiranya terjadi sesuatu perkara mereka tahu apa nak dibuat dan tahu siapa yang akan mereka hubungi,” ujar beliau.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras ATLDM dan Penyelaras Nelayan-Nelayan Negeri Prak, Mejar Kehormat David Choi Kok Wai memberitahu, ketika ini terdapat lebih 100 nelayan laut dalam telah memiliki kad dan menjadi ahli RAKAM.
Menurut beliau, di Perak sahaja, terdapat lebih 900 nelayan laut dalam tetapi hanya 100 daripada mereka terlibat secara langsung dengan RAKAM.
“100 nelayan ini merupakan wakil kepada kesemua nelayan-nelayan tersebut, mereka akan membantu nelayan-nelayan laut dalam lain sekiranya terdapat masalah selain menyalurkan maklumat mengenai tugas sebenar penguatkuasa maritim,” jelas beliau.