LENGGONG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kemungkinan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan lagi.

“Insya Allah YAB Perdana Menteri, di Lenggong ini bila minta, di negeri Perak ni pun kita minta, supaya adalah ole-ole untuk penerima BR1M…harapan kita supaya dipertimbangkan jumlahnya lebih banyak, insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bantu Rakyat & Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lenggong di Kg. Chain, dekat sini pada Isnin.

Kira-kira 15,000 penduduk Lenggong hadir pada majlis itu bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan Merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mentek.

BR1M mula diperkenal pada 2012 dan kali terakhir kenaikan ialah tahun lalu.

Buat masa ini, penerima BR1M menerima antara RM450 dan RM1,200, bergantung kepada kategori masing-masing.