IPOH: Kerajaan negeri telah mengkaji dan meluluskan pengurangan sebanyak 57.9 peratus kadar lesen iklan mulai Januari 2017, berbanding pada tahun 2013 bagi iklan luar atau `billboard’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mewartkan kadar baru itu, kecuali Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Tapah.

Menurut beliau, berdasarkan perbandingan dengan negeri-negeri lain, kadar caj yang dikenakan di negeri Perak jauh lebih rendah.

Beliau memberi contoh, kadar caj iklan di Perak adalah 62 peratus lebih rendah berbanding Pahang, 55 peratus lebih murah berbanding Kedan dan 52 peratus lebih rendah daripada caj yang dikenakan negeri Johor.

“Kadar fi iklan ini bukan sahaja bertujuan untuk PBT memperolehi pendapatan sahaja, malah ia bertujuan untuk pengawalan iklan billboard yang dipasang tanpa mengikut syarat-syarat yang dibenarkan ,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Mengenai cukai taksiran, Rusnah berkata, walaupun ia dilihat tinggi jika dibandingkan dengan di bandar lain, termasuk Kuala Lumpur, tetapi ia mesti dilihat dari segi jumlah sebenar yang perlu dibayar pemilik pegangan.

Beliau menjelaskan, pengiraan asas nilai tahunan di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih berasaskan sewaan tahun 1982, iaitu kira-kira 35 tahun lalu, yang jauh lebih rendah berbanding nilai sewaan semasa.

Bagaimanapun, beliau memberi contoh, di Kuala Lumpur, walaupun kadar taksirannya empat peratus, tetapi asas nilainya berdasarkan tahun 2014.

“Oleh itu, jangan lihat kepada kadar taksiran sahaja tetapi mesti juga dilihat asas nilai tahunannya,” tambah beliau.