HUTAN MELINTANG: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ini kerana hasil pendapatan negara daripada kadar enam peratus sekarang dan dividen daripada Petronas, mencukupi untuk menampung belanjawan negara dan manifesto Barisan Nasional (BN)

Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, pada kadar enam peratus, kerajaan memperolehi lebih RM 40 bilion dan kenaikan gaji tahunan tidak mengambil kira daripada GST.

Tambahan pula, Belanjawan 2018 dibuat berdasarkan anggaran harga minyak sekitar USD 52 setong tetapi sekarang telah meningkat lebih USD 70 setong.

“Melihatkan bahawa pendapatan negara daripada hasil minyak melalui dividen yang diperolehi daripada Petronas tentunya mampu untuk bukan hanya pelaksanaan kepada projek-projek di dalam manifesto BN tetapi juga terhadap pengumuman kenaikan gaji tahunan yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam majlis MAPA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di sekitar Hutan Melintang di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, terdapat usaha untuk mengelirukan rakyat kononnya selepas pilihan raya akan ada kenaikan GST.

Perkara itu disifatkan sebagai fitnah untuk merosakkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan pemimpin negara.

BERITA BERKENAAN : Aziz Bari Bukan Calon Menteri Besar Pakatan – Nizar Jamaluddin