IPOH: Kadar inflasi negeri Perak lebih rendah berbanding kadar peringkat national, Pulau Pinang dan Selangor, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, berdasarkan kepada statistik pada tahun 2016, kadar inflasi Perak hanya 1.4 peratus, berbanding peringkat nasional (2.21%), Pulau Pinang (2.47%) dan Selangor (2.20%).

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang, khususnya Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), kononnya infasi negeri ini berpuluh-puluh peratus.

“Satu lagi bukti, mainan manipulasi angka dan persepsi yang ditunjukkan pihak pembangkang.

“Bukan saya ingin membanding-bandingkan tetapi dengan menyebut inflasi Pulau Pinang naik sebanyak 0.38 peratus kepada 2.47 pada 2016 berbanding 2013, ia mungkin boleh menyentak lamunan Sitiawan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pada tahun 2013 kadar inflasi negeri Perak adalah 2.73 peratus dan telah turun kepada 1.44 peratus pada 2016.

“Jika benar seperti kata Sitiawan inflasi negeri Perak berpuluh-puluh peratus, tunjuklah sumber statistik yang digunakan. Kita pun nak tahu juga rujukan apa yang diguna pakai,” tambahnya.

Dr Zambry menyifatkan kenyataan Ngeh sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan sebagai seorang Ahli Dewan yang telah lama.

Beliau berkata, walaupun kadar inflasi Perak rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, ia tidak bermakna, kerajaan negeri menafikan atau menidakkan keresahan rakyat khususnya dalam soal kos sara hidup.

“Sebab itu di dalam pembentangan saya telah mengumumkan beberapa pendekatan, seperti Program Sara Diri, Karnival Kedai Bergerak, bantuan kotak makanan dan beberapa inisiatif lain,” ujarnya.