IPOH: Kadar keciciran pelajar sekolah menengah iaitu yang tidak menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima di kalangan masyarakat Orang Asli mencatatkan peningkatan sejak lima tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi bagaimanapun berkata, kadar keciciran murid sekolah rendah (tidak menamatkan persekolah sehingga darjah 6) mencatatkan penurunan sejak tiga tahun lalu.

Beliau memberitahu, kadar keciciran pelajar sekolah menengah di kalangan Orang Asli pada tahun mencatatkan 36.35 peratus, meningkat kepada 40.01 peratus (2015), 42.43 peratus (2016), 42.90 (2017) dan 51.06 peratus (2018).

Menurutnya, kadar keciciran murid sekolah rendah di kalangan masyarakat Orang Asli tahun 2016 mencatatkan 5.04 peratus, merosot kepada 3.99 peratus (2017) dan 0.73 peratus (2018).

“Antara punca keciciran pelajar Orang Asli ialah sikap ibu bapa yang kurang mengambil besar tentang persekolah dan pemberlajaran anak-anak,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ng Shy Ching (PKR – Teja) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Asmuni memberitahu, antara sebab lain berlaku keciciran itu ialah:-

➢ Kebanyakan pelajar terlalu merendah diri dan sensitif sehingga tidak boleh ditegur dan dimarahi oleh pihak sekolah.

➢ Pelajar tidak biasa bergaul dan bercampur dengan masyarakat luar.

➢ Kurang motivasi dari masyarakat sekeliling tentang kesedaran pendidikan terhadap generasi baru.

Menurutnya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah melaksanakan beberapa usaha bagi mengatasi isu tersebut, antaranya:-

➢ Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pihak sekolah telah membuat Taskforce Basmi Ponteng dengan meganjurkan program-program motivasi untuk meningkatkan kesedaran kepentingan pendidikan kepada ibubapa dan pelajar-pelajar.

➢ JAKOA dengan kerjasama pelbagai pihak mengadakan program kesedaran ilmu di perkampungan orang asli yang mempunyai kadar ponteng dan keciciran sekolah yang tinggi.

➢ Sumbangan peruntukan dari kerajaan Negeri bagi program motivasi dan program berbentuk ilmiah yang disalurkan ke sekolah-sekolah.

➢ Penyerahan bantuan JAKOA terhadap pelajar sekolah rendah dan sekolahmenengah bagi menambahkan minat untuk ke sekolah.

Beliau memberitahu, antara bantuan tersebut adalah :

1. Wang Saku (Sek. Menengah sahaja) – RM 2.00 sehari bergantung kepada kehadiran pelajar ke sekolah.

2. Catuan Makanan Mentah 100% pelajar Orang Asli di kawasan pendalaman ( minum pagi dan makan tengahari ).

3. Menyediakan pengangkutan pelajar sekolah pergi dan balik – secara harian dan cuti persekolahan (untuk pelajar yang tinggal di asrama).

4. Yuran Pelbagai Sekolah Menengah –Peralatan alatulis yang dibayar kepada koperasi sekolah.

5. Keperluan diri di asrama – peralatan mengurus diri di asrama.

6. Anugerah Pelajar Cemerlang – bagi meraikan pelajar cemerlang.

7. Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) – bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Katanya, kadar biasiswa yang ditawarkan untuk peringkat matrikulasi ialah RM3,000 setahun, sijil (RM3,500), diploma (RM8,160) dan ijazah (RM9,560).

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN – Kampung Gajah) berkata, Asmuni menyambut baik cadangan agar JAKOA belajar mengenai cara kerajaan New Zealand membantu kaum Maori.