IPOH: Sekiranya anak anda tidak boleh bercakap sekurang-kurangnya enam patah perkataan ketika berumur 18 bulan, jangan tunggu lagi, berjumpalah segera dengan pakar pediatrik.

Anak anda mungkin mengidap autisma dan rawatan awal boleh membantunya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Menurut Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Datuk Dr Amar Singh, kadar pengidap autisma di negara ini meningkat 1/100 berbanding 1/500 kira-kira 10 tahun lalu.

“Kita tidak tahu apakah punca sebenar autisma tetapi rawatan awal boleh membantu memulihkan antara 50 – 70 peratus daripada mereka,” katanya pada sidang media di Kelab Ipoh Diraja di sini pada Jumaat.

Sidang media itu untuk memaklumkan mengenai penganjuran Forum Awam Rotary mengenai austisma anjuran bersama Jabatan Pediatrik HRPB dan lima Kelab Rotary di Ipoh – Kelab Rotary Ipoh Selatan, Kelab Rotary Greentown, Kelab Rotary Ipoh, Kelab Rotary Metro Ipoh dan Kelab Rotary Kinta.

 

forum-awam-rotary

Forum turut disokong oleh beberapa agensi serta organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti Kementerian Pendidikan, Persatuan Pediatrik Malaysia, MySihat, National Early Childhood Intervention Council, Network for the Needs of Children with Disabalities (Perak), Persatuan Ohana Perak dan Persatuan Kebangsaan Austisme Malaysia.

Bagi mengetahui lebih lanjut, Dr Amar menjemput ibu bapa, guru-guru dan mereka yang terlibat secara langgsung dengan kanak-kanak autisma, menghadiri Forum Awam Rotary: Inklusif & Austisma `Membimbing Anakku – Kemahiran Keibubapaan Dalam Pilihan Terapeutik Untuk Kanak-Kanak Autisma’.
Menurutnya, forum sehari itu akan diadakan pada 14 Januari 2017 di Tingkat 4, Auditorium Ambulatory Care Centre (ACC) Building, HRPB Ipoh.

Sementara itu, Penasihat Rotary District Action Group for Autism, Siti Subaidah Adil berkata, forum itu akan menampilkan latihan kemahiran secara praktikal, idea-idea inovatif dalam menggalakkan penglibatan kanak-kanak berkenaan serta sokongan untuk keluarga.

“Aktiviti yang dirancang mampu membantu ibu bapa, penjaga dan guru-guru menerusi peralatan yang boleh menarik penglibatan dan mengurus anak-anak austisma,” ujarnya sambil memberitahu bahawa forum itu adalah percuma.

Tempat adalah terhad dan pendaftaran boleh dibuat secara atas talian melalui https://www.jotform.com/rotaryd3300/Rotary-Inclusion-Autism-Ipoh.

Untuk makluman lanjut, sila layari http://www.rotary3300.org atau menghubungi J. Henry (0125180821) / Kamarul (0104214151) / Francis (0125887128) / Kenneth (0125178692)