IPOH: Selepas kejayaan menganjurkan pelbagai program keagamaan, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) merancang untuk mengadakan program Gerak Subuh.

Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, program itu adalah satu lagi usaha untuk menggalakan lebih ramai umat Islam di negeri ini menunaikan solat Subuh di masjid.

Menurut beliau, program baru itu adalah kesinambungan daripada Kempen Jom Solat Subuh Berjemaah yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tahun lalu.

“Alhamdulillah, sekarang ini kita lihat masjid-masjid mula dipenuhi ketika solat Subuh dan kita akan teruskan dengan program Gerak Subuh, selepas musim haji ini, insya Allah,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Rabu.

Azhar berkata, seperti kebanyakan program agama yang dianjurkan KADIR, program Gerak Subuh juga akan disertai Dr Zambry.

Sebelum ini, antara program yang dianjurkan yayasan itu ialah Qiamullail, Jom Solat Subuh Berjemaah, Ceramah Perdana, Kembara Dakwah dan Ijtimak Belia.

“Alhamdulillah, kita tidak akan berhenti di sini, sebaliknya insya Allah kita akan cuba mengadakan lebih banyak program keagamaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.