KAMPAR: Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) bukan sahaja terlibat secara langsung di dalam penganjuran aktiviti keagamaan tetapi turut membantu pihak-pihak yang ingin melaksanakan program mendekati golongan keterbawahan.

Terbaharu, KADIR membantu sekumpulan mahasiswa Pusat Asasi UiTM Dengkel, Selangor mengadakan program di perkampungan Orang Asli Kg Sg Peria, Sahom dekat sini, pada Sabtu.

Program Khidmat Komuniti Bersama Masyarakat Orang Asli itu melibatkan 35 penuntut dan 7 pegawai universiti dengan pelbagai pengisian seperti sukanika, sukan rakyat serta gotong royong mencantikkan dewan dan surau.

Pegawai Psikologi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Dengkel, Syeriefa Zulaikha Asni berkata, program itu antara lain bertujuan mendedahkan penuntut dengan masyarakat Orang Asli, supaya mereka memahami cara hidup mereka.

“Suasana di luar sini sangat berbeza dengan apa yang penuntu alami di dalam universiti, dengan adanya program seumpama ini, kita berharap pemikiran mereka akan lebih terbuka dan memahami kehidupan masyarakat di pedalaman,” katanya kepada Suara Perak.

Penuntut Asasi Undang-Undang, Wan Muhammad Naqib Wan Roslan, 18, pula berkata, pengalaman berada di sebuah perkampungan yang jauh di pedalaman memberi pengalaman baharu kepada mereka.

“Kami dapat berkomunikasi dengan masyarakat Orang Asli dan memahami cara hidup mereka, ini adalah pengalaman yang sangat berguna untuk kami,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja KADIR, Anuar Mohd Noh berkata, yayasan itu bersedia bekerjasama dengan pihak university untuk menganjurkan program kemasyarakatan di masa-masa akan datang.

Selain KADIR, program Khidmat Komuniti Bersama Masyarakat Orang Asli itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Kumpulan Halaqah Mukmimah Kampar.