IPOH: Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) akan cuba membantu Pondok Al-Latifiah yang lebih dikenali dengan Pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu yang terbakar lewat malam Ahad.

Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk melihat apa yang boleh dibantu, selain daripada bantuan yang mungkin diberikan kerajaan.

“Kita sangat simpati dengan ujian Allah pada Syawal ini yang berlaku di Pondok Pak Teh,” katanya kepada Suara Perak ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam Ahad, sebanyak 18 buah penginapan pusat pengajian agama yang dikenali sebagai Pondok Pak Teh di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu hangus dijilat api.

Pondok Pak Teh yang dibina sejak tahun 1967 mempunyai 182 pondok pengajian yang dibina daripada papan.

Sementara itu, menurut maklumat daripada Whatsapp kumpulan Sahabat KADIR, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat yang tidak betul.

Maklumat palsu itu menyatakan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 563019256220 atas nama PERTUBUHAN KEBAJIKAN dan memohon maklumkan jumlah sumbangan melalui sms@Whatsapp 0195452471.

Bagaimanapun, maklumat yang sebenarnya ialah sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 158079284482 atas nama Jawatankuasa Pondok Al Latifiah.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui sms@Whatsapp 013-5151334 (Encik Khusyairi Abd Latif).