IPOH: Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) menerima sumbangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak untuk kegunaan rasminya.

Majlis serah terima MPV jenis Honda Odyssey itu disempurnakan di tempat letak kenderaan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Mantan Pengarah JKDM Perak, Datuk Awai Mamat menyerahkan kenderaan itu kepada Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad sambil disaksikan Pengarah JKDM Perak, Mohd Nordin Abdullah.

Awai di dalam ucapannya berkata, proses penyerahan itu mengambil masa kerana ia melibatkan beberapa proses dokumentasi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Sementara itu, Azhar pula berkata, kenderaan itu akan digunakan untuk membawa tokoh-tokoh agama dan ulamak yang dijemput untuk menghadiri program KADIR di seluruh negeri.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak JKDM Perak di atas sumbangan itu, beliau berharap lebih banyak pihak, termasuk individu tampil untuk memberi sumbangan kepada KADIR.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), memang kami memerlukan sumbangan dan bantuan untuk melancarkan perjalanan pelbagai program yang KADIR laksanakan,” ujarnya.

Menurut Azhar, buat masa ini, pihaknya sangat berharap mendapatkan sumbangan sebuah lagi bas kerana bas yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membawa ramai anak-anak yatim dan tahfiz menghadiri program yang dianjurkan.

“Kami mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil membantu supaya lebih ramai anak yatim dan anak-anak tahfiz dapat mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh KADIR,” tambah beliau.

fd19c542-6e1f-4048-af08-9b8cba8448d3f7c126d3-5bb2-493f-879b-06c6dc9d7371