KUALA KANGSAR: Kaedah alternatif penyimpanan air mentah di kawasan hilir sungai atau `off river storage’ (ORS) akan dilaksanakan bagi meningkatkan simpanan fizikal air sehingga 25 peratus daripada keseluruhan takungan sumber air sedia ada.

Menerusi kaedah itu, pada hari biasa, air sungai dipamkan ke kolam takungan yang dibina berhampiran dan kadar pengepaman boleh ditingkatkan ketika musim hujan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, air takungan itu boleh dilepaskan semula ke sungai apabila paras sungai rendah, khususnya ketika musim kemarau.

Dalam masa sama, kata beliau, ketika kerajaan mengambil langkah untuk menambah takungan air, rakyat diminta berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran penggunaan air.

“Antara sektor yang paling tinggi dalam penggunaan air adalah sektor pertanian iaitu lebih kurang 70 peratus dan bagi mengatasi mengatasi penggunaan air yang dijangka meningkat ini, budaya penggunaan air perlu diubah melalui peningkatan amalan penjimatan air dalam semua sektor,” katanya.

Beliau berucap dimajlis perasmian sambutan Hari Air Sedunia 2018 peringkat kebangsaan di Laman Budaya, di sini yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ir Dr Hamim berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyatakan penggunaan air penduduk di negara ini ialah 209 liter perkapita dengan sasaran masa hadapan kepada 180 liter perkapita.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi mengatasi dan mengurangkan kesan banjir di seluruh negara, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) ini sahaja, sebanyak 86 projek berkaitan melibatkan kos keseluruhan RM10.76 bilion telah diluluskan dan sedang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau menambah, untuk negeri Perak sahaja, sebanyak 14 projek diluluskan yang melibatkan projek tebatan banjir, hakisan pantai, pemuliharaan sungai dan muara sungai, membabitkan kos keseluruhan RM695 juta.

Antara projek itu, kata Ir Dr Hamim ialah pembangunan lembangan sungai persepadu Sungai Perak fasa 1 (RM250 juta), rancangan tebatan banjir Teluk Intan (RM71 juta), rancangan tebatan banjir Bagan Datuk (RM87.6 juta) dan rancangan tebatan banjir Sungai Kinta fasa 2 (RM108 juta).

Mengenai sambutan Hari Air Sedunia 2018 yang bertemakan `Nature for Water’, beliau berkata, ia bermakna penyelesaian yang diguna pakai untuk menghadapi cabaran sumber air pada abad ke – 21 ini adalah berasakan kepada kaedah semula jadi.