IPOH: Kaedah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang lebih sistematik, akan diumumkan bulan depan.

Buat masa ini, pihak berkenaan, khususnya Kementerian Pendidikan sedang meneliti maklumat terperinci mengenai peruntukan yang diberi dan dasar-dasar yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya juga akan meneliti memorandum yang diserahkan oleh kumpulan mahasiswa yang berarak ke Parlimen semalam.

Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa janji peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 tidak perlu membayar balik pinjaman mereka tidak dapat ditunaikan.

“Apa yang akan kita laksanakan ialah kita akan pastikan bahawa cara pembayaran, mekanisma bayaran yang kita lakukan, seboleh-bolehnya tidak menekan, tidak menyusahkan mereka yang meminjam.

“Nanti saya rasa apabila kita dengar pengumuman nanti, akan nampaklah macam mana cara kita pastikan bahawa mereka yang berpendapatan rendah masih lagi dibantu dan tidak disukarkan kehidupan mereka dengan pembayaran yang tinggi, itu kita akan pastikan tetapi yang pentingnya yang pinjam, bayar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi panel forum integriti sempena Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak di Ipoh pada Khamis yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Wan Saiful berkata, pengumuman itu merupakan berita baik bagi mereka yang bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman tetapi berita buruk bagi mereka yang memang tidak mahu membayar dan sengaja hendak mempermain-mainkan lagi isu ini.

Seramai 20 mahasiswa lengkap berpakaian jubah konvokesyen berarak kira-kira 8 kilometer dari Universiti Malaya ke bangunan parlimen pada Rabu, bagi membantah keputusan baru kerajaan berkaitan PTPTN.