KUALA KANGSAR – Sektor pelancongan di Perak perlu dipromosikan menerusi kaedah digital dalam usaha mengangkat keunikan seni dan budaya dari negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, kaedah berkenaan (digital), adalah antara program utama yang telah ditetapkan serta dipersetujui selaras dengan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri.

Malah menurutnya, kaedah berkenaan dilihat mampu merealisasikan hasrat untuk mengangkat segala hasil seni dan budaya ke peringkat global.

“Sebab itu kita pilih Kuala Kangsar sebagai projek percubaan (pilot) kita. Kita nak angkat segala bakat, segala hasil krafangan yang dihasilkan di bandar warisan budaya ini.

“Kita akan tumpukan di Kuala Kangsar dahulu. Sudah tentu ada banyak lagi keunikan di Taiping, Ipoh, Kampar dan tempat-tempat lain. Kita akan pergi.

“Kita pilih Kuala Kangsar dahulu. Kalau boleh kita usahakan trademark usahakan trademark atau tagline ‘made in Perak’. Bukan sahaja dari segi kraftangan, muzik, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Kar Hing berkata demikian, sempena lawatan kerja bagi meninjau lokasi serta produk pelancongan dan kraftangan di sekitar Kuala Kangsar, hari ini.

Sementara itu, Kar Hing akan membuat tinjauan susulan bagi melihat sendiri isu yang timbul di Muzium Arkeologi Lenggong.

Selain itu katanya, pihaknya juga dalam proses menghantar dossier kepada Unesco berhubung keunikan serta keindahan Royal Belum sebagai tapak warisan dunia.

“Memang ada kelemahan serta kekurangan, tetapi kita akan percepatkan. Ini berikutan kenyataan daripada Unesco yang memberi tempoh lima tahun untuk menaik taraf kawasan-kawasan tapak warisan dunia ini,” katanya – sinar