IPOH – Taktik pengusaha kafe siber menyelitkan perjudian dalam talian bagi mengaburi pihak penguatkuasa berjaya dibongkar dalam serbuan Op Dadu di Taman Tasek Idaman, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, hasil serbuan mendapati pengusaha premis itu menjalankan judi dalam talian secara sembunyi.

“Hasil pemeriksaan di premis itu mendapati terdapat 25 komputer yang disediakan tetapi hanya tujuh komputer digunakan untuk perjudian dalam talian.

“Serbuan dijalankan sepasukan anggota bersama pakar judi. Premis berkenaan didapati mempunyai lesen dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menjalankan perniagaan itu,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu telah menahan seorang lelaki dan wanita yang bekerja sebagai penjaga premis terbabit.

“Kesemua barangan termasuk set komputer, server, kamera litar tertutup (CCTV), modem, dan lesen perniagaan telah dirampas untuk pemeriksaan lanjut.

“Kedua-dua penjaga berusia 21 tahun dan 27 tahun itu pula direman untuk siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya – sinar