IPOH – Ketua Pemuda DAP, YB Wong Kah Woh mencabar supaya Barisan Nasional tidak menurunkan calon mereka supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menang tanpa bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau menyatakan hasratnya setelah mendengar kata-kata daripada pihak Barisan Nasional khasnya bahawa PRK ini tidak patut berlaku dan ia merupakan satu pembaziran wang rakyat.

“Saya di sini ingin mencabar supaya Barisan Nasional (BN) tidak menurunkan calon mereka supaya DSAI boleh menang tanpa bertanding dan dengan itu kerajaan tidak perlu menggunakan apa-apa dana ataupun wang untuk mengendalikan PRK ini.

“Jadi, persoalannya adalah sama ada Barisan Nasional sanggup berbuat demikian ataupun BN sendiri ingin cuba sedaya upaya untuk menghalang Anwar daripada kembali ke Parlimen?,” soal beliau.

Kah Woh berkata demikian ketika sidang media menghidupkan kembali bangunan panggung wayang Silver Star di Kampung Simee, di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai cakap-cakap bahawa PRK Port Dickson hanya akan menyebabkan pembaziran wang rakyat.

Berkenaan dengan kempen PRK, Kah Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh TImur itu berkata DAP masih menunggu mesyuarat dan juga pengumuman daripada Sruhanjaya Pilhan Raya sebelum memulakan kempen.

“Bagi pihak DAPSY kami telah pun mengarahkan supaya pihak DAPSY Negeri untuk membuat koordinasi yang sepatutnya untuk PRK ini.

“DAPSY dan juga pimpinan dari DAPSY Kebangsaan akan turun untuk membantu kempen ini supaya Anwar boleh memenangi PRK ini dengan satu majoriti yang selesa,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata DAPSY memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada Anwar yang juga selaku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat untuk bertanding di kawasan Port Dickson dan selanjutnya kembali ke Parlimen Malaysia.

Menurut Kah Woh, pengalaman Anwar dalam pentadbiran negara setelah beliau memenangi PRK tersebut akan memberikan satu suntikan dan semangat yang baru dan baik yang kuat kepada kerajaan Pakatan harapan pada hari ini.