KUALA LUMPUR: Kerajaan membayangkan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur dalam jangka panjang.

Sebagai permulaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata garis panduan lebih ketat membabitkan isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur akan dirangka.

Katanya, senarai prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu akan disediakan tidak lama lagi.

“Ia akan dikenal pasti dalam bulan ini dan pihak berkenaan akan membentangkannya kepada saya.

“Untuk jangka panjang, panjang perkahwinan bawah umur harus terus diharamkan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Mujahid mengakui isu berkenaan amat rumit dan teknikal serta memerlukan kerjasama semua pihak.

Katanya, pelbagai masalah teknikal perlu diselesaikan, selain memerlukan pindaan undang-undang syariah dan sivil berkaitan kebenaran perkahwinan bawah umur.

“Banyak pihak perlu dirujuk sebelum langkah itu dibuat sebagai persediaan dan paling penting mengikut undang-undang Islam dan Syariah,” katanya.

Laporan mengenai perkahwinan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan baru-baru ini, menjadikan isu perkahwinan bawah umur hangat diperkatakan pelbagai pihak – berita harian