KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan telah menggambarkan agama Islam sebagai ganas apabila mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas dengan Taliban.

Tindakan itu menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri dilakukan dengan sengaja untuk menakut-nakutkan rakyat hanya kerana kesepakatan kedua-dua parti menggoyahkan Pakatan Harapan.

“Ini hanyalah untuk menakut-nakutkan apabila ada yang cuba menggambarkan Islam itu ganas dengan mengaitkan dengan Taliban dan sebagainya.

“Mereka bimbang tentang kerjasama ini. Kerana kerjasama ini jika diteruskan mampu menumbangkan kerajaan PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas kenyataan Menteri wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad yang menyifatkan ungkapan-ungkapan UMNO dan Pas mengakibatkan bukan Melayu rasa terancam dengan parti itu.

Di negeri-negeri yang pernah ditadbir oleh Pas membuktikan tiada bukan Islam terpinggir..

“Saya dah sebut dalam dewan tadi, Islam adalah agama kedamaian dan kita menjaga kepentingan semua.

“Tambahan lagi, sewaktu perjumpaan kita yang pertama dan kenyatan kita pun jelas kesepakatan ummah ini tidak meminggirkan kaum-kaum lain di negara kita.

“Pas dah terbukti sudah memerintah di Kelantan, Terengganu, Kedah. Kita tak dengar bukan Melayu atau bukan Islam yang dipinggirkan atau tertekan di negeri-negeri ini.

“Jadi tak timbul isu umat islam atau bukan islam akan dipinggirkan dan diketepikan dari segi pentadbiran kerjaan,” ujarnya.

Dalam pada itu kata beliau kerjasama antara Pas dan UMNO tidak akan melibatkan Sabah Sarawak seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat antara kedua-dua parti itu 5 Mac lalu.

“Seperti yang kita persetujui sewaktu perjumpaan pertama kita, main community kita (Umno dan PAS) hanya bekerjasama di Semenanjung. Tidak di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette