IPOH: Kerajaan negeri akan meneliti dan mendapatkan nasihat dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum mengikut jejak langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memendekkan waktu operasi pusat hiburan kepada jam 1 pagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengulas perkara itu berkata, keadaan di negeri Perak masih terkawal meskipun pusat hiburan beroperasi hingga awal pagi.

“Kita perlu kaji kerana ia bukan kerana soal masa (beroperasi) tetapi apa yang dilakukan oleh mereka yang pergi ke pusat-pusat hiburan.

“Kalau sekadar hiburan yang boleh dikawal dan tidak mengganggu ketenteraman awam, saya fikir tidak ada masalah besar.

“Namun yang berbahaya apabila mereka terlalu banyak minum minuman keras, jika di kalangan rakyat yang tidak minum dengan bertanggungjawab.

“Kalau tutup 8 malam pun tapi dia minum dari 2 petang dengan banyak, ianya tetap boleh ganggu gugat ketenteraman,” katanya kepada pemberita di Malam Hadiah Sastera Darul Ridzuan dan Malam Nusantara di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@ Meru, di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, cadangan dari Kementerian Wilayah Persekutuan berkenaan isu itu ada hubungkait dengan keadaan di bandar raya Kuala Lumpur sendiri.

“Saya perlu dapat nasihat dari Pihak Berkuasa, PBT dan sebagainya sebelum nak sahut sama ada perkara sama kita boleh buat di Perak.

“Jika kita hadkan masa tertentu untuk jualan minuman keras dan sebagainya, mungkin kita boleh kaji perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan DBKL untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada jam 1 pagi.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, DBKL akan memulakan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan yang beroperasi lebih dari jam 1 pagi bermula Januari tahun depan.