IPOH: Cadangan melanjutkan umur bagi penjawat awam wajar dipertimbangan semula bagi memberi peluang kepada graduan mendapat pekerjaan selain mengelakkan masalah pengangguran.

Menurut ahli Dewan Belia Perak, Mohd Firdaus Muhamad Amin, cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mahu had umur persaraan dilanjutkan daripada 60 ke 62 tahun tidak sesuai.

“Walaupun itu hanya cadangan dari pihak CUEPACS, tetapi akan mendatangkan banyak implikasi, khususnya peluang kepada anak-anak muda kita yang kebanyakannya lulusan universiti untuk dapat pekerjaan.

“Sehingga kini pun ramai graduan yang bekerja di sektor awam atau swasta hanya bekerja di level rendah, pada saya jika kita mahu gilap kepakaran mereka seharusnya beri peluang untuk mereka ceburi bidang berkenaan.

“Kalau kita tengok dalam beberapa tahun akan ada penambahan lanjutan had umur persaraan sehingga membantutkan peluang anak-anak muda yang rata-rata hebat dalam bidang masing-masing,” katanya dalam sesi perbahasan di Persidangan Dewan Belia Perak pada Ahad.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan supaya had umur persaraan dikurangkan serta tidak ditambah demi memastikan golongan muda dapat menerajui dan berkongsi kepakaran masing-masing untuk kebaikan negara.

“Dalam satu kenyataan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, selaras dengan unjuran jangkaan negara akan mencapai status negara tua pada tahun 2030. Dan ada dua puluh tahun lagi untuk capai tahun 2050, kita perlukan golongan muda untuk ada di sektor-sektor yang berkaitan,” ujarnya.