IPOH – Kerajaan Perak digesa mengkaji semula pelaksanaan program Ladang Rakyat yang dilaksanakan sebelum ini dengan beberapa penelitian.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran berkata, perkara itu perlu dibuat bagi memastikan program tersebut benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.

Menurutnya, kajian semula juga perlu dilakukan terhadap penerima manfaat tersebut kerana sebelum ini kebanyakan mereka dipilih berdasarkan parti politik.

“Matlamat program ini sangat baik untuk membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan. Malangnya ada peserta Ladang Rakyat ini yang dipilih berdasarkan parti politik.

“Perkara ini perlu diperbetulkan kerana budaya politik lama memberikan kontrak atau manfaat kepada kroni perlu dihindari,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan Ladang Rakyat ini dibuat dengan betul, rakyat yang terpilih untuk program ini dapat keluar dari kepompong kemiskinan mereka.

Menurut Tinagaran, begitu juga dengan penyertaan golongan bekas tentera ke dalam program tersebut yang perlu diteliti.

Beliau berkata, sewajarnya bekas tentera yang mempunyai kadar pencen rendah perlu diberikan keutamaan dan bukan bekas pegawai yang mendapat kadar pencen lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Tinagaran berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap peneroka haram korporat yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan itu wajar dilakukan bagi memastikan kerajaan tidak kehilangan sumber hasil negeri.

“Tanah-tanah yang diteroka secara haram oleh syarikat korporat ini sepatutnya diberikan kepada rakyat untuk diusahakan secara sah.

“Sekurang-kurangnya rakyat dapat manfaat dan boleh menjalankan kegiatan pertanian untuk tambah pendapatan. Malah kerajaan juga dapat pungut hasil cukai,” katanya – sinar harian