IPOH: Satu usaha bersepadu di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu diwujudkan bagi mengkaji semula sistem saliran di Ipoh.

Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN-Hulu Kinta) berkata, ini kerana sistem saliran yang diguna pakai ketika ini sudah terlalu lama dan mungkin merupakan penyebab utama kenapa banjir kilat sering melanda di beberapa kawasan sekitar Ipoh.

Menurut beliau, isu banjir kilat di kawasan bandar ini bukan lagi perkara baharu, setiap kali hujan yang lebat berlaku, maka banjir kilat juga akan datang khususnya di kawasan-kawasan perumahan.

“Saya harapkan MBI, JPS dan JKR dapat menjalankan usaha bersepadu kaji semula sistem saliran ini,” katanya semasa membahaskan titah Sultan Perak sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.

Tambah beliau, kesemua pihak terlibat juga dicadangkan mewujudkan blueprint sistem saliran yang baharu bagi memastikan kejadian itu tidak lagi menyusahkkan rakyat.

“Kaji dan sediakan satu blueprint baru, satu sistem saliran baru di bandaraya Ipoh.

“Ia penting, kerana kemungkinan sistem diguna pakai ketika ini sudah terlalu lama ditambah pula dengan pembangunan pesat Ipoh dalam tempoh sama sudah tentu menjadi salah satu faktor berlakunya banjir kilat,” ujar beliau.