IPOH – Perak sedang mengkaji cadangan memperkenal sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) di Empangan Bukit Merah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry  Abd Kadir berkata, sistem itu dilihat mampu mengekalkan paras air di empangan berusia 110 tahun itu untuk jangka masa panjang.

Menurut beliau, melalui sistem itu, kerja-kerja mengerudi telaga akan dilakukan berdekatan tebing sungai supaya air dapat diproses dan digunakan.

“Untuk jangka masa panjang, ianya boleh memastikan dari segi kandungan air di kolam Bukit Merah itu berada di paras yang normal. Ini merupakan salah satu pendekatan yang sedang kita kaji,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di Ipoh pada Isnin.

Menurut beliau, sistem yang mengambil air dari bawah tanah itu ketika ini sedang diguna pakai di Kuala Kangsar dan ianya mampu mengeluarkan 25 juta liter air sehari untuk dirawat.

Katanya, walaupun paras air di empangan berkenaan telah kembali normal ketika ini namun pelaksanaan sistem RBF yang dianggarkan bernilai RM 5 juta itu dilihat lebih sebagai langkah praktikal.

Ujarnya, cadangan itu telah pun dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan bersama beberapa lagi cadangan lain baru-baru ini melalui satu mesyuarat Menteri-Menteri Besar.

“Antara cadangan lain pula adalah cadangan membina sebuah terowong khas bagi mengalih saliran air dari Sungai Perak ke Sungai Kurau, tetapi ianya akan menelan belanja RM300 juta.

“Kita sedang mempertimbangkan segala cadangan ketika ini kerana kolam bukit merah ini sangat strategik ianya bertanggungjawab mengairkan kawasan sawah seluas 30,000 hektar selain sumber air kepada masyarakat,” jelasnya.