IPOH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau tidak akan mudah terheret serta terperangkap dengan sebarang bentuk kajian yang dibuat oleh Invoke Malaysia.

Katanya dalam konteks Perak, Invoke telah membuat pelbagai analisis mengenai kemampuan Barisan Nasional namun ianya merupakan pandangan pengarah Invoke itu sendiri iaitu Rafizi Ramli.

Beliau berkata BN Perak tidak akan ambil pusing kajian Invoke itu kerana sedar ia merupakan strategi pembangkang untuk mengaburi mata pemimpin BN supaya leka dibuai dengan perasaan terlalu yakin.

“Yang paling penting saya tidak mahu terperangkap di dalam sebarang bentuk kajian-kajian yang datangnya daripada kalangan kelompok mereka (pembangkang) kerana setiap kenyataan yang dikeluarkan apabila ada sesuatu kajian yang dibuat daripada parti yang berkenaan yang ada kepentingan, maka ia akan memberi makna-makna tertentu apabila setiap kajian itu dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Executive Talk with Sister Sabria: Compassion Without Borders di Dewan Bankuet, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Dr Zambry mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Pengarah Invoke Rafizi Ramli melalui kajian Invoke kira-kira tiga minggu lalu mendapati UMNO di Perak semakin kuat dan pembangkang hanya memerlukan sebanyak 35% pengundi untuk memastikan Pakatan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Rafizi dikatakan membuat kenyataan itu ketika berucap melancarkan Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta di Bandar Baru Putra, malam Ahad.

Menurut Dr Zambry, UMNO tidak boleh selesa walaupun kajian Invoke menunjukkan undi UMNO di kalangan orang Melayu di Perak masih nombor satu kerana dapatan-dapatan yang dibuat oleh Invoke dimiliki oleh pembangkang.

“Mungkin dia (Rafizi) nak gambarkan seolah-olah nak bagi kita seronok, bagi kita geli jadi kadang-kadang bila kita geli ni kita pun rasa kita boleh menang mudah…jadi jangan kita mudah terperangkap.

Dalam masa yang sama perlu dilihat bahawa setiap negeri dan tempat mempunyai konteks yang tersendiri.

“Konteks ini bermakna kajian-kajian yang kita lakukan ini tidak semestinya hanya berdasarkan kepada secara umum begitu dan dalam konteks Barisan Nasional (BN), kami bukan hanya melakukan dengan dasar mengambil sampling.

“BN mengambil pendekatan berdasarkan kepada konteks yang ada di setiap DUN dan Parlimen kerana bagi kami itu lebih praktikal dan lebih nyata berbanding hanya kajian-kajian sampling yang dibuat,” tambah beliau.

Namun beliau berkata masing-masing ada cara dan pendekatannya, jadi biar pembangkang dengan cara mereka manakala BN dengan cara tersendiri.

Dr Zambry juga tidak menolak kemungkinan ‘kajian’ Invoke itu mempunyai strategi-srategi tertentu.

“Kajian-kajian secara bebas yang dibuat oleh pusat-pusat kajian telah memberikan gambaran-gambaran kemungkinan ataupun kebarangkalian tentang tahap sokongan di satu-satu tempat.

“Invoke kita pun tahu ia dimiliki oleh parti pembangkang dan kedudukan Rafizi sendiri adalah di sebelah sana.

“Apa pun samada baik atau buruk untuk BN kita tahu ‘kajian’ tersebut datang daripada sebuah institusi yang dekat, secara langsung berkaitan dengan pihak pembangkang,” kata beliau.

Dr Zambry turut mengingatkan UMNO Perak untuk meneruskan persiapan gerak kerja secara berterusan yang perlu dilakukan untuk memastikan keadaan di negeri Perak khususnya dengan tahap sokongan rakyat supaya dapat dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Dr Zambry menegaskan ia telah pun selesai di kalangan komponen parti cuma menanti masa dan arahan daripada pucuk pimpinan untuk membenarkan beliau mengumumkan senarai nama calon.