IPOH : Kajian mengenai kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan akan memberi lebih tumpuan kepada aspek nilai bagi membentuk watak murid-murid.

Melalui penambahbaikan mata pelajaran itu, kementerian mahu murid-murid bukan setakat memahami ilmu agama tetapi boleh mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Mohamed Abu Bakar berkata, kajian itu juga sesuai dengan senario semasa negara.

“Kalau kita tengok masalah sosial di Malaysia semakin meningkat, jadi pendidikan agama boleh membantu, bukan sahaja dalam mendalami ilmu agama tetapi juga boleh membentuk watak murid-murid.

“Jadi kita sedang melihat balik kandungan subjek ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ziarah Cakna Kebangsaan 2020 peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Silibin di sini, hari ini.

Menurutnya, kementerian telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) untuk melihat bagaimana kandungan subjek itu boleh dikaitkan dengan aspek moral dan nilai.

Dalam pada itu, Mohamed berkata, program Ziarah Cakna yang diperkenalkan tahun lalu, akan diteruskan kerana ia mampu mengatasi pelbagai masalah sosial, termasuk isu keciciran.

“Melalui program ini, hubungan di antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid menjadi lebih akrab yang akhirnya murid bukan sahaja seronok datang ke sekolah tetapi dapat meningkatkan aspek pembelajaran dan pengajaran,” ujarnya.

Sementara itu, di dalam ucapannya, beliau memberitahu, statistik tahun lalu menunjukkan 40,158 murid sekolah rendah dan 26,428 murid sekolah menengah telah diziarahi oleh 63,313 guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah.

“Jika dijumlahkan, seramai 66,586 murid, 59,739 dan 102,488 guru yang terlibatkan, bayangkan jika kita berjaya menyampaikan hasrat kerajaan melalui pelbagai inisiatif KPM kepada jumlah yang sebesar ini.

“Oleh itu, impak yang akan dapat dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka yang sekolah adalah satu tempat permulaan untuk mengubah masa hadapan mereka dan keluarga,” katanya.