IPOH: Kerajaan negeri terlebih dahulu akan menjalankan satu kajian penilaian di sekitar kawasan Geopark Lembah Kinta bagi menggerakkan program dan aktiviti komuniti setempat untuk Daerah Kampar dan Daerah Kecil Batu Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, kajian penilaian itu perlu dilakukan terlebih dahulu, untuk mentakrif semula semua aktiviti-aktiviti yang sedang berjalan atau berlaku di kawasan Geopark Lembah Kinta.

Menurut beliau, kajian itu juga untuk mengenalpasti kepentingan geologi, arkeologi dan bio diversiti di dalam kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri akan menyediakan Pelan Pengurusan Geopark Lembah Kinta dan pada peringkat ini, pengenalpastian dan perincian tentang komuniti setempat akan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bebas – Tualang Sekah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Kar Hing memberitahu, di peringkat ini, pihak-pihak berkepentingan di kawasan tersebut seperti pihak berkuasa tempatan, agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan serta komuniti, akan ditemubual untuk mendapatkan pandangan dan kesesuaian program serta aktiviti yang boleh dilaksanakan di kawasan komuniti setempat.

Menurutnya, dengan mengambilkira pandangan komuniti setempat dan pengumpulan data-data yang menyeluruh ini, kerajaan negeri akan dapat merangka aktiviti komprehensif yang bersesuaian bagi komuniti setempat di dalam kawasan Geopark Lembah Kinta.

Seterusnya, tambah beliau, ia dapat membantu menjana ekonomi komuniti setempat serta memberi faedah dan yang maksima kepada komuniti sejagat yang tidak merugikan mereka.

Beliau memberitahu, peruntukan yang disediakan dan disalurkan bagi pembangunan Geopark Lembah Kinta daripada pihak Kerajaan Pusat (2017 & 2018) adalah berjumlah RM276,000 dan daripada pihak Kerajaan Negeri (2014 hingga 2018) berjumlah RM2,019,471.0

Katanya, peruntukan tersebut telah digunakan antaranya bagi kerja-kerja pemetaan geologi, kajian saintifik, pembangunan maklumat geotapak, program kesedaran dan promosi, penyediaan dossier, maklumat saintifik geotapak dan panel penerangan geotapark, penerbitan dan laporan saintifik dan bahan dan program promosi.

Di samping itu, katanya, ia juga digunakan untuk peta terperinci geotapark, kerjasama awal bersama pelbagai pihak berkepentingan & komuniti, pembangunan kapasiti dalaman & pihak berkepentingan, program penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan dan majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan.