TELUK INTAN – Permintaan tinggi serta harga yang semakin naik menyebabkan dua beradik dipercayai mengambil jalan mudah dengan memproses dan menjual air ketum.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kedua-dua beradik berkenaan antara yang ditahan oleh pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Bersepadu Khas Hilir Perak bermula 10 hingga 11 April.

“Kami percaya permintaan air ketum yang memberangsangkan buat masa ini merupakan antara faktor mengapa kakak dan adik lelakinya masing-masing berusia 27 dan 21 tahun menjual air ketum berkenaan.

“Mereka ditahan pihak polis ketika leka memproses dan menjual air ketum kepada pelanggan di kediaman mereka di Kampung Matang Guntong, Kota Setia, Teluk Intan,” katanya ketika sidang media di IPD Hilir Perak, hari ini.