KUALA KANGSAR: Kakak kepada salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara bimbang dengan keselamatan adiknya, S Nirmala Malar Kodi, 45, namun percaya kerajaan akan membuat yang terbaik.

S Komala Theinmoli, 48, berkata, dia masih tidak dapat mengelak daripada berasa takut memikirkan keadaan di sana memandangkan Korea Utara sememangnya terkenal dengan pelbagai cerita negatif.

Menurutnya, cerita negatif yang didengarinya juga membuatkan hatinya semakin bimbang, namun sedikit lega kerana adiknya bekerja dalam bangunan kerajaan Malaysia.

Tambahnya, Nirmala juga ada menghubungi keluarga mereka pada malam kelmarin memaklumkan semuanya dalam keadaan terkawal dan mereka tidak perlu risau dengan keadaannya.

“Saya rasa takut bila bercakap soal keselamatan adik saya. Bila ada media datang seperti ini, saya rasa sangat takut sebab rasa macam ada masalah besar di sana.

“Malah, saya juga ada terfikir adakah kerajaan Korea Utara akan bertindak sampai mungkin mengambil nyawa mereka namun suami dan ahli keluarga lain kata tidak mungkin perkara itu terjadi.

“Memang mereka tidak dibenarkan pulang tetapi takkanlah kerajaan Malaysia tidak jaga mereka. Saya pasti kerajaan akan menjaga mereka dengan sebaiknya,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini pada petang Rabu.

Tambah Komala Theinmoli, kali terakhir Nirmala pulang ke Malaysia pada April lepas ketika bercuti sebulan.

Ujarnya yang tinggal di Highland Park, di sini, Nirmala ada memberitahu dia tidak boleh balik pada tahun ini kerana tiada cuti, namun boleh pulang sekiranya ada masalah di sana.

“Saya harap janganlah sampai ada perkara buruk berlaku, harap dia dan semua rakyat Malaysia pulang dengan selamat.

“Memang saya sangat rindukan dia, kali terakhir saya berbual dengannya pada bulan lalu, lama kami berbual, cerita tentang keluarga, cerita pasal masakan.

Menceritakan sikap anak ketiga daripada lima beradik itu, Komala Thenimoni berkata Nirmala tidak lokek membelanja keluarga mereka apabila pulang ke Malaysia.

“Dia sudah bekerja di sana sejak tiga tahun lepas. Bila balik sini, memang dia akan belanja keluarga kami pelbagai barang. Dia memang sayang sangat dengan anak-anak saya.

“Saya ada juga nasihatkan dia supaya kumpul duit kerana dia belum berkahwin,” ujarnya.

kakak-bimbang-adik-di-Korea 2