GUA MUSANG: Ibu tunggal yang sebelum ini tinggal di kandang kambing menerima khabar buruk apabila kaki anak lelakinya yang berusia enam tahun digilis forklif, pagi tadi.

Ruslida Kamarazaman, 38, yang berpindah ke rumah baharu di Kampung Chegar Bungor, di sini, dua hari sebelum Aidilfitri, berkata kaki kiri Mohd Danial Adha Shafawe, hancur digilis kenderaan itu ketika sedang bermain di perkarangan kilang papan di kawasan industri di sini, pada jam 9.55 pagi.

Mangsa dikatakan bermain di belakang forklif dan pemandu kenderaan itu tidak mengetahui kanak-kanak berkenaan berada di situ dan cuma terdengar jeritan.

“Sungguh sedih dengan kejadian ini dan kaki anak mungkin terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ruslida berkata, mangsa tinggal bersama bapanya, Mohd Shafawe Omar, 44, di rumah kongsi kilang berkenaan di kampung yang sama selepas mereka bercerai sejak setahun lalu.

Mohd Danial Adha anak keenam daripada tujuh beradik itu bermain di kawasan kilang papan itu manakala bapanya sedang bekerja tidak jauh dari situ – berita harian