ALOR SETAR: Seorang penjudi maut ketika satu ‘port’ judi di sebuah bangsal di Kampung Titi Keling di sini diserbu petang Rabu.

Mangsa yang berumur 54 tahun dilapor mati akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata mangsa tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian.

“Semasa serbuan, lelaki tersebut melarikan diri dari polis bersama beberapa suspek lain, namun dia rebah dan tidak sedarkan diri. Ambulans dari Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah datang membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Mangsa didapati mempunyai lapan rekod judi lampau.

Dalam operasi itu, pihak polis turut menahan tujuh lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun dan merampas wang tunai lebih RM900.