BAGAN SERAI – Penganjuran konvoi bermotosikal ‘Bagan Serai Masjid Ride 2017’ berjaya mengubah mentaliti golongan belia kaki motor untuk lebih mendekati masjid dan aktiviti kerohanian.

Kembara kali kedua diketuai Personaliti Ekspedisi Kembara Bumi Suci, Nahrawi Marzoki ini berjaya menarik lebih 400 belia berusia 21 tahun ke atas dari Parlimen Bagan Serai.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penyertaan 10 peserta konvoi diikuti 402 belia singgah ke Masjid Kampung Selinsing dan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi memberi ruang kepada mereka terlibat dalam aktiviti kerohanian tanpa mengorbankan minat bermotosikal.

Menurutnya, program itu bagi merapatkan belia kaki motor yang sering dianggap mat rempit dengan golongan veteran melalui solat berjemaah, tazkirah dan sesi bersalaman diiringi selawat.

“Pendekatan masjid ride ini merupakan satu platform dakwah alternatif kepada golongan belia dan penduduk setempat untuk merasa lebih selesa dan dekat dengan institusi masjid di samping menggalakkan mereka beramal di sepanjang perjalanan.

“Setiap persinggahan, kesemua peserta akan laksanakan solat dhuha, tahiyatul masjid dan diberikan tazkirah oleh Ustaz Nahrawi dan Pencetus Ummah Raihan.

“Ketika di Masjid Kampung Selinsing dan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi, peserta dapat bersemuka dengan pemimpin setempat,” katanya semalam.

Dr Noor Azmi berkata, program ini memberi peluang pihaknya mendengar luahan golongan anak muda dan penduduk setempat di kawasan masjid dikunjungi.

“Saya berpuas hati dengan sambutan peserta konvoi dan penduduk yang hadir dan percaya pendekatan sebegini lebih pragmatik kerana bersifat serampang dua mata,” katanya.

Beliau percaya program itu perlu dianjurkan di setiap Dun dalam bentuk penganjuran konvoi amal.

“Kita akan memperkukuhkan lagi inti pati program selingan dengan kuliah atau aktiviti keagamaan bersesuaian bagi memastikan peserta mendapat lebih banyak ilmu bermanfaat.

“Mungkin pada program akan datang, kita akan mengajak peserta konvoi membersihkan masjid dan surau, kawasan perkuburan dan rumah anak yatim.

“Perkara ini penting bagi menggalakkan lebih ramai anak muda kembali tertarik ke masjid, sekali gus menghindarkan kegiatan tidak bermoral” katanya.

Pada program itu, 10 fakir miskin di Kampung Selinsing menerima sumbangan barangan keperluan dan wang tunai daripada Dr Noor Azmi, turut disediakan jamuan rakyat.

Nahrawi berkata, penganjuran program berlandaskan dakwah lebih memberi berkat kepada peserta di sepanjang perjalanan.

“Saya bersedia melibatkan diri dengan lebih banyak program sebegini di Parlimen Bagan Serai pada masa hadapan dan bercadang menyelitkan tambahan beberapa kursus keagamaan asas kepada peserta konvoi kelak.

“Antara yang dicadangkan seperti penyembelihan haiwan, pengurusan jenazah dan perkahwinan di mana modul pengisian disesuaikan dengan matlamat berdakwah,” katanya.
-SinarHarian