IPOH – Seorang murid lelaki tahun enam terpaksa menahan sakit lebih 10 minit apabila kakinya tersepit pada pedal basikal dalam kejadian di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat di sini, semalam.

Mohd Danial Zulmasri, 12, berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan daripada guru sekolah kira-kira jam 3.17 petang.

Ketua Operasi, Mohammad Fauzi Abd Aziz berkata, 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, kaki kiri murid berkenaan tersepit dipercayai tergelincir ketika menunggang secara laju untuk aktiviti petang di sekolah. Usaha menyelamat diteruskan dengan menggunakan alat menyelamat.

“Peralatan khas itu digunakan untuk merenggangkan pedal pengayuh dan besi pada rangka basikal sebelum berjaya mengeluarkan kaki mangsa,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan dengan kesan bengkak di bahagian buku lali.

“Sebelum operasi tamat, kita menasihatkan guru bertugas untuk membawa murid berkenaan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi kecederaan yang dialaminya,” katanya.

-SinarHarian