Kuala Krai: Wanita warga emas terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas kaki kirinya tersepit dalam lubang mangkuk tandas di Kampung Peria Dalam, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 76 tahun dikatakan masuk ke dalam tandas itu sebelum tergelincir menyebabkan kaki kirinya termasuk ke dalam mangkuk tandas itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.16 petang.

Katanya, operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razani Mamat bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota kami menggunakan minyak masak sebagai pelincir dalam usaha mengeluarkan kaki mangsa dari lubang tandas berkenaan

“10 minit kemudian kaki mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Krai dengan menggunakan kenderaan kecemasan bomba (EMRS) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

-myMetro