IPOH: Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Bhd (KAKIB) mengagihkan dividen berjumlah 18 peratus kepada 6,679 anggota koperasi itu tahun lalu.

Pengerusinya, Khairul Anuar Mohd Nor berkata, pecahan kadar dividen itu ialah 7.1 peratus untuk dividen yuran, 8 peratus dividen saham dan 3 peratus lagi dividen atas simpanan khas anggota.

Menurutnya, koperasi menyediakan pelbagai manfaat khususnya kepada anggotanya yang terdiri daripada penjawat awam iaitu kakitangan kerajaan dan badan berkanun.

“KAKIB masih mengekalkan teras perniagaan iaitu pemberian kredit yang mana sehingga kini, hasil pembiayaan diberikan kepada anggota, kita telah mencatat untung bersih sebanyak RM6.9 juta pada 2019,” katanya kepada media.

KAKIB yang ditubuhkan pada 1923 adalah antara koperasi yang terawal di Malaysia dan menduduki tangga ke 26 daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Menurut Khairul Anuar, selain pembiayaan, KAKIB turut menawarkan pelbagai manfaat lain kepada anggota-anggotanya seperti pendidikan anggota, derma pelajaran untuk anak-anak, khairat kematian dan lawatan sambil belajar.

“Matlamat penubuhan koperasi adalah untuk kebajikan anggota seperti pemberian dividen malahan di koperasi kita juga menubuhkan tabung kepada anggota termasuk saguhati kepada anggota bersara melalui beberapa syarat yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Selain itu, katanya, KAKIB turut menjalankan perniagaan bidang Pajak Gadai Islam Ar- Rahnu yang terbuka kepada orang awam dengan upah simpanan yang rendah hanya 80 sen bagi RM100 dengan margin yang diberikan kepada penggadai sehingga 80 peratus daripada nilai.

“Sehingga tahun 2019, transaksi Ar-Rahnu menghampiri RM2 juta dan ia menjadi ransangan kepada kami untuk membangunkan sebuah lagi Ar-Rahnu dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi mengembangkan lagi aktiviti, koperasi itu menubuhkan agensi pelancongan – Kakib Safar Travel & Tours (KSTT) pada 2018, yang memberi fokus awal kepada pakej Umrah dan pakej muslim.

Khairul Anuar berkata, KAKIB juga menjalankan perniagaan pembangunan hartanah melalui projek perumahan di Chepor dan pembangunan infrastruktur di Batu Gajah yang turut menyumbangkan kepada pengukuhan aset koperasi.

Menurutnya, kunci kejayaan KAKIB adalah atas kerjasama serta komitmen semua pihak, termasuk anggota lembaga, pihak pengurusan dan anggota yang terus memberi kepercayaan kepada perkhidmatan koperasi.

“Dengan adanya pengurusan yang baik, ia dapat menjadikan koperasi lebih lestari di mana prestasi koperasi sentiasa berada di dalam keadaan baik. Banyak koperasi yang ditubuhkan tetapi tidak lestari tetapi dengan adanya kerjasama dari pihak lembaga dan pekerja ia menjadikan kita antara koperasi yang lebih mapan di negara ini,” tambahnya.

Beliau memberitahu, hasil kejayaan yang dilakar, KAKIB telah menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak, khususnya Suruhanjaya Koperasi Malaysia di samping anugerah kualiti peringkat negeri dan kebangsaan.

Antara anugerah itu ialah koperasi terbaik di Malaysia pada tahun 2009, Anugerah Kualiti Perdana Menteri 1996, Anugerah Koperasi Bandar Terbaik 1995-1997 dan Anugerah Koperasi Terbaik Perkhimatan Kewangan Negeri Perak 2016.

Khairul Anuar berharap lebih ramai kakitangan awam di Perak, termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan dan perbadanan mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan oleh KAKIB dengan menjadi ahli koperasi secara permohonan dalam talian melalui laman web Kakib.my.