PUTRAJAYA: Langkah keselamatan dan pencegahan sudah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan di Hospital Teluk Intan, susulan beberapa kakitangan perubatannya disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan perkara itu dalam satu hantaran melalui Facebook kira-kira jam 4 pagi tadi.

Beliau berkata, pengurusan di hospital berkenaan sedia maklum mengenai penularan berita itu menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp baru-baru ini.

“Ia mengatakan bahawa ada peningkatan bilangan kes positif COVID-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian di Hospital Teluk Intan terganggu.

“Pihak pengurusan Hospital Teluk Intan mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak.

“Tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital telah menjadi tumpuan utama sejak kes pertama jangkitan positif COVID-19 dikenalpasti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak tularkan sebarang berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai.

“Sebarang maklumat berkenaan Covid-19 hendaklah merujuk kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel cprc@moh.gov.my,” katanya.

Sejak 21 Mac lalu, tersebar melalui laman sosial Facebook, satu klip video selama 36 saat yang memaparkan enam doktor termasuk doktor pakar perubatan sedang dalam proses untuk dibawa ke Hospital Ipoh selepas disahkan positif COVID-19.

Perakam, dipercayai seorang kakitangan hospital terbabit, kedengaran memaklumkan ujian saringan terhadap doktor dan kakitangan perubatan lain masih belum diketahui.