SERAMAI 140 kakitangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bersama 23 ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Majlis menzahirkan komitmen itu turut disertai Yang Dipertuanya, Mohamad Fariz Mohamad Hanip yang melafaz dan menandatangani IBR berkenaan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Datuk Nooraziah Abd Manaf berkata, tindakan itu adalah satu manifestasi kepada sokongan dan komitmen berterusan untuk menjadikan negara bebas daripada dibelenggu jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, ia turut membuktikan komitmen MPM berpegang teguh kepada prinsip anti rasuah dan melaksanakan tugas dengan lebih berintegriti.

“MPM menjadi PBT pertama yang menandatangi IBR dengan turut membabitkan ahli majlis dan ia boleh dijadikan contoh kepada agensi lain.

“Saya turut mencadangkan setiap vendor dan kontraktor yang berurusan dengan PBT menandatangani ikrar ini kerana IBR adalah satu inisiatif yang dapat memperlihatkan kejujuran, keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana lebih kondusif dan bebas daripada anasir rasuah,” katanya ketika berucap pada majlis Melafaz dan Menandatangani IBR di Dewan Anjung Perdana MPM di Seri Manjung, hari ini.

Majlis melafaz dan menandantangani IBR itu diketuai Mohamad Fariz dengan disaksikan Nooraziah.

Sementara itu, Mohamad Fariz berkata, pihaknya percaya dengan lafaz ikrar itu akan mendorong dan meningkatkan semangat warga MPM dalam melaksanakan tanggungjawan dengan berintegriti tinggi selaras dengan komitmen untuk menwujudkan perkhidmatan gang telus dan cemerlang.

 

-myMetro