KUALA LUMPUR 16 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mendapat petunjuk bagaimana kebocoran data peribadi pengguna telefon berlaku dan sudah mengenal pasti pihak yang terlibat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan sedang dijalankan oleh PDRM di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Perkara ini berlaku di satu daripada syarikat komunikasi dan dipercayai semasa proses transaksi penukaran data, ada kakitangan yang mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan pegawai awam PDRM bersama Ketua Polis Negara sempena sambutan Hari Polis ke-210 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE