IPOH – Nama-nama yang bukan kalangan ahli politik dan barisan kepimpinan bahagian parti UMNO merupakan antara senarai calon yang akan dipertaruhkan Barisan Nasional Perak pada Pilhan Raya Umum-14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, calon-calon tersebut dipilih bagi memastikan BN bukan sahaja dapat membentuk kerajaan tetapi dalam masa sama mampu mengurusnya dengan baik.

“Calon-calon dipilih itu adalah calon terbaik untuk kawasan berkenaan serta dapat membantu bagi membentuk kerajaan serta mengurusnya, ia penting kerana membentuk kerajaan serta mengurusnya adalah isu berbeza.

“Ketika memilih calon itu kita melihat daripada pelbagai aspek serta kualiti termasuk kemampuannya daripada segi pengurusan,” kata beliau ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di sini pada pada Rabu.

Tambah beliau yang juga Menteri Besar Perak, pihaknya menetapkan kriteria yang ketat dalam soal memilih calon dan kesemua calon negeri itu telah pun dikenal pasti.

“Kita tidak memilih calon hanya untuk seronok-seronok atau hanya kerana dia pandai berceramah, makin hamun orang dan sebagainya, BN Perak bukan begitu.

“Calon-calon dipilih perlu mempunyai latar belakang yang baik serta akar umbinya kukuh, semuanya mempunyai latar belakangnya yang tersendiri…kita ambil pendekatan menyeluruh,” ujarnya.

Pada Februari lalu, Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor turut memberitahu pihaknya telah mengenal pasti beberapa pegawai kerajaan yang berpotensi untuk menjadi calon parti itu pada PRU14 di peringkat DUN serta Parlimen.