BAGAN DATUK: “Kalau anak gagal, kita salahkan cikgu dan sekolah, tapi kalau anak berjaya, kita lupa ucap terima kasih pula?

Demikian teguran ringkas dan ingatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu sesi khas bersama warga pendidik daerah Bagan Datuk sempena program pemukiman SMK Khir Johari.

Komen Dr Zambry yang merupakan bekas pendidik itu jelas mengundang senyuman tawar di wajah lebih daripada 500 pendidik dari seluruh daerah Bagan Datuk.

“Agaknya pelajar hari ini dah berubah, ibubapa pun sama tapi sepatutnya tradisi menghormati cikgu itu ditanamkan sejak kecil lagi, kerana bila ibubapa pergi bekerja, yang membentuk anak-anak menjadi manusia adalah guru.

“Saya sering berpesan, walau di mana kedudukan kita jangan pernah menghina guru kerana jiwa kita, ilmu kita malah identiti serta cita-cita gurulah yang memberi panduan tapi kita tidak sedari,” katanya lagi.

Ujar beliau, guru adalah faktor utama kepada revolusi mental yang membawa keluarga keluar dari kefakiran dan kemiskinan serta di samping meningkatkan darjat seseorang.

Tegasnya, golongan pendidik pada hari ini harus mengenalpasti tugas dan amanah mereka yang relevan dalam mendepani cabaran dalam era digital hari ini.

Dr Zambry berkata, pelajar hari ini lebih mahir dan bertenaga, justeru guru perlu bijak mencari langkah untuk memastikan mereka tidak terpesong daripada laluan ilmu yang sebenar.

Beliau memberi jaminan, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat akan sentiasa bersama-sama membantu menambahbaik prasarana selain membantu meningkatkan kualiti pembelajaran.

“Kita cuba berikan yang terbaik agar tiada lagi alasan anak-anak tidak dapat ke sekolah, kerana daif dan sebagainya,” ujarnya.