IPOH : Pembangkang Perak mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri membuat bajet defisit sekiranya benar mereka mempunyai lonjakan rizab dan tunai sebanyak RM342 juta.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka juga mempertikaikan mengapa bajet untuk beberapa jabatan dan agensi dikurangkan sekiranya kerajaan negeri mempunyai rizab dan tunai sebanyak itu.

Katanya, mereka hairan bagaimana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu boleh mengumumkan
bahawa rizab dan tunai kerajaan negeri yang berakhir pada 31 Oktober 2019 adalah RM1.42 bilion.

“Dan dia dengan bangga mengatakan bahawa itu adalah pertambahan sebanyak RM342 juta, berbanding dengan RM1.076 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Kita menyatakan keraguan kita pada angka itu kerana Menteri Besar telah mengumumkan kedudukan rizab dan tunai pada 31 Oktober 2019 sedangkan rizab dan tunai hanya boleh disahihkan setelah tutup akaun pada 31 Disember 2019 dan telah odit,” katanya dalam sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri ditangguhkan pada Jumaat.

Sidang media itu turut dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional dan PAS.

Saarani berkata, mereka mempertikaikan dari mana datangnya lonjakan sebanyak RM342 juta itu.

“Sungguhpun kalau kata dapat dibuktikan ada duit mari dari langit atau dari mana pun tetapi itu tidak boleh diistilahkan sebagai rizab sebab itu adalah wang yang datang sebagai hasil dan sepatutnya berada dalam akaun semasa kerajaan negeri yang masih boleh digunakan sehingga 31 Disember 2019.

“Jadi pada pendapat kami pembangkang, angka yang dikatakan rizab dan tunai berakhir pada 31 Oktober itu tidak tepat.

“Rizab sebenarnya ialah kekal pada RM1.076 bilion seperti mana yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional,” ujarnya.

Malangnya, kata beliau, Menteri Besar tidak menjawab mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

“Jika benar ada lonjakan RM342 juta, mengapa dia menyediakan bajet defisit.

“Dengan lonjakan yang sebegitu besar dia boleh pula mengurangkan peruntukan untuk pembasmian kemiskinan sebanyak RM5.5 juta untuk Jabatan Pertanian RM2 juta, Jabatan Veterinar RM1 juta dan banyak lagi pengurangan, termasuk pengurangan di semua pejabat daerah,” tambahnya.

Menurutnya, pembangkang berhujan bukan mengkritik sembrono, sebaliknya berasaskan kepada bacaan, kajian, penyelidikan, rujukan kepada setiap satu sen yang dicadangkan untuk dibelanjakan oleh kerajaan negeri.