IPOH: Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan menzahirkan komitmen beliau untuk memberi keutamaan menyelesaikan segara isu kelewatan kemasukkan murid di bangunan tambahan SJK (T) Bantuan Kerajaan Buntong.

Beliau difahamkan berlaku kelewatan hampir dua bulan bangunan sekolah tiga tingkat 12 bilik yang berharga RM1.7 juta itu tidak dapat digunakan kerana beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau memberi jaminan akan memastikan perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan murid sekolah meneruskan pembelajaran mereka.

“Kadang-kadang kita perlu mengambil masa untuk memenuhi syarat yang ditetapkan ini dan kita telah mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan khususnya di Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Yang penting keselamatan anak-anak kita perlu diutamakan dan bangunan yang telah siap dibina ini selamat untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyerahan cek peruntukkan khas penyelenggaraan kecil tahun 2016 kepada 15 buah SJK(T) Bantuan Kerajaan dan 2 buah SJK(T) Pembangunan Sukan Negeri Perak di SJK (T) Bantuan Kerajaan Buntong pada Selasa.