IPOH: Bekas Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh dipilih sebagai Tokoh Usahawan Pertubuhan Anak Perak (PAP) sempena majlis pelancaran Kelab Usahawan PAP (KUWAP) di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, malam tadi.

Majlis pelancaran KUWAP dan penyampaian anugerah disempurnakan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad.

Azhar berharap agar PAP menggunakan pengalaman yang ada pada Kamarul Rashdan untuk membantu membangunkan usahawan, khususnya di kalangan anak muda di negeri ini.

“Saya berharap PAP akan teruskan usaha untuk membantu anak-anak muda di negeri ini dengan menyalurkan maklumat-maklumat mengenai peluan dan bantuan perniagaan yang ada di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Hadir sama Presiden PAP, Faizal Affendi Hashim dan Pengerusi KUWAP, Setiausaha Kehormat Veteran MAYC (VMAYC) negeri Perak, Rozamir Zulkifli.

Azhar menyambut baik penubuhan KUWAP kerana ia membolehkan segala program dilaksanakan secara berjemaah, sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan di kalangan anak muda di negeri ini.

“Dalam apa-apa hal sekalipun, konsep berjemaah lebih baik kerana ia boleh memberi keputusan yang lebih baik dan inilah yang dianjurkan oleh semua agama, lebih-lebih agama Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Kamarul Rashdan berkata, usahawan muda di negeri ini harus mengambil kesempatan daripada peruntukan RM9 bilion untuk usahawan kecil dan sederhana yang disediakan dalam Bajet 2018.

Faizal pula berkata, PAP akan mewujudkan Facebook khas untuk membantu memperkenal dan mempromosikan produk ahli KUWAP.