KUALA LUMPUR : Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, kastam dan imigresen dapat menghindarkan fitnah terhadap pasukan berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengalu-alukan cadangan berkenaan dan berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan.

“Saya amat mengalu-alukan. Ini berita yang amat baik buat polis sebab kita sendiri pun banyak buat permohonan untuk tambah baik kelengkapan yang diperlukan agar anggota dapat menjalankan tugasan dengan lebih cekap, sempurna dan terlindung daripada fitnah-fitnah (seperti dakwaan salah laku).

“Pengumuman daripada Perdana Menteri itu amat baik kerana ia akan dapat mencegah fitnah sebab saya yakin anak buah saya akan dapat melaksanakan kerja mereka dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew View Keong mengadakan lawatan kerja di Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini.

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa bagi menangani salah laku.

Beliau berkata, pelaksanaan itu penting berikutan terdapat dakwaan pegawai penguat kuasa memukul individu yang berurusan dengan mereka.