IPOH – “Ketika itu kami semua sedang memasang khemah dan lampu untuk mulakan perniagaan namun tiba-tiba angin kencang disusuli hujan menerbangkan khemah kami,” kata peniaga, Shahidan Mohd Sauri, 31, menceritakan kejadian ribut yang melanda kawasan Downtown Meru Raya di sini, petang kelmarin.

Katanya, lebih 120 khemah peniaga rosak bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun terdapat dua peniaga yang mengalami kecederaan di kepala dalam kejadian jam 6.30 petang itu.

“Ketika kejadian kami sedang memasang lampu pada khemah dan terus lari menyelamatkan diri, hanya mampu melihat khemah kami musnah.

“Sebaik hujan berhenti, kami pun keluar dari kenderaan masing-masing dan melihat semua khemah terbalik dan bersepah,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada sebelah malam mendapati kerja pembersihan dan mengalihkan khemah tumbang sedang giat dijalankan.

Shahidan berkata, keadaan ketika itu begitu kelam kabut dengan masing-masing cuba lari menyelamatkan diri.

“Kami bersyukur kerana tiada yang cedera walaupun nyaris-nyaris terkena tiang besi kaki khemah yang diterbangkan ribut.

“Setakat ini kita ada hampir 60 peniaga yang berniaga dan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya.

Downtown Meru memulakan operasinya pada 18 Mac lalu dan kini menjadi antara tumpuan pengunjung selepas Gerbang Malam di Jalan Dato Tahwil Azar.

-Sinarharian