TURKI – Walaupun sukar mendapatkan alat ganti kereta buatan Malaysia ini, namun ia bukanlah halangan bagi pengguna dan pencinta kenderaan Proton dari kalangan warga Turki.

Muhamad Nur Thaqib Shaker, pelajar Malaysia di Turki, Exco Data, Komunikasi dan Perhubungan MASAT berkongsi pengalamannya pernah ternampak beberapa kereta Proton model lama yang masih menyelusuri jalan raya di negara itu seperti Proton Waja, Saga dan terdapat juga Proton Waja yang dijadikan sebagai teksi di Istanbul.

Apa yang lebih mengejutkan, terdapat Kelab Proton Turki yang ditubuhkan bagi menghimpunkan para pengguna dan pencinta kenderaan Proton.

Muhamad tidak melepaskan peluang untuk mendekati kumpulan ini dan ingin mengetahui mengapa kereta Proton menjadi pilihan mereka.

“Kebanyakannya mengatakan sebab utama mereka membeli dan menggunakan kenderaan Proton ialah untuk menyokong kenderaan keluaran Malaysia sebagai sebuah negara Islam, di samping harga Proton yang begitu murah.

“Dari segi aspek keseluruhan, mereka mengakui bahawa ia sebuah kenderaan berkualiti, selesa, kukuh dan baik dari segi pemanduan. Namun mereka berdepan dengan kesukaran untuk menemui pakar kereta PRoton dan juga kesulitan untuk mendapatkan alat gantinya,” tulis Muhamad.

image

Bagi seorang pemuda Turki yang berusia 19 tahun dari Istanbul ini, Hami Akyuz, merupakan peminat tegar jenama Proton telah menggunakan sekurang-kurangnya 18 jenis kereta Proton semenjak 8 tahun dan masih setia bersama jenama Proton.

“Proton adalah kenderaan yang berkualiti, selesa dan mampu beli. Saya dan peminat jenama kereta Malaysia ini juga amat berharap model baharu Proton dapat masuk ke Turki lagi,” ujarnya.