TELUK INTAN: Bagi kita yang sempurna zahirnya, pasti tidak pernah menyelami isi hati dan perasaan mereka yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal dan sekadar menggelar mereka dengan istilah cacat.

Yuhaizam Yahya, 46, tampil dan memberikan pesanan kepada rakan-rakan senasib dengannya yang selama ini memikirkan mereka sekadar individu terpinggir kerana tidak bergerak seperti orang biasa.

Bapa kepada empat orang anak yang pernah mewakili Perak dalam sukan memanah di Sukan Paralimpik itu berkata, dia sudah puas mendengar kata-kata negatif yang muncul daripada temannya yang berkerusi roda atau mempunyai kekurangan fizikal mahupun kebolehan untuk berfikir.

“Semua orang mempunyai kekurangan, malah orang biasa yang lengkap fizikal pun mempunyai kekurangan, jadi kita yang telah diberikan ujian dari Allah ini, kita ambil kekurangan itu sebagai kelebihan dan jangan pandang rendah terhadap diri sendiri.

“Tiada istilah kita ini cacat maka kita tidak mampu, atau golongan OKU ini komuniti kecil, kita juga seperti orang biasa punyai impian, harapan, perasaan dan minat seperti orang biasa maka pasanglah azam untuk menjadikannya realiti,” katanya kepada Suara Perak.

Yuhaizam, yang pernah menyertai skuad Ziad and Latiff ke peringkat Sukan Paralimpik Dunia mengakui, bukan mudah untuk ke peringkat tersebut, namun beliau percaya segalanya tidak mustahil berbekalkan iltizam dan semangat juang dari diri sendiri.

Selepas 13 tahun hidup sebagai seorang OKU sejak kemalangannya pada tahun 2004, Yuhaizam berkata keinginan dan kemahuan seorang yang kurang upayanya adalah sama, malah adakalanya lebih dari orang biasa.

Beliau ditemui dalam Kursus Inspire I-Talent dan Pelancaran Pusat Latihan Negeri (PLN) khusus buat atlit para anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Grand Court Hotel, di sini baru-baru ini.

Kata Yuhaizam, bukan semua yang mempunyai kecenderungan dalam bidang sukan dan semuanya bergantung kepada iltizam dan kemahuan diri sendiri untuk menggapai peluang yang ada.

“Orang biasa pun ramai tak minat bersukan, jadi buat kami, masih diberikan umur yang panjang jangan sia-siakan peluang untuk mencari bakat terpendam.

“Untuk menyara keluarga, pelajari cara untuk bekerja walau dengan pergerakan terbatas, jangan pandang negatif diri sendiri, sentiasa berkomunikasi dengan keluarga dan sahabat dan elakkan menjadikan fizikal sebagai alasan untuk pergi jauh dalam hidup ini,” ujarnya lagi.

Pesanan anak kelahiran Taiping ini, agar semua rakan seperjuangannya yang kurang zahirnya namun lengkap dari segi impian dan harapan, untuk terus mara dan mencuba sesuatu dalam hidup ini.

“Perak, telah pun mengambil inisiatif melancarkan podium untuk atlit sukan biasa, jadi saya nampak usaha kerajaan negeri untuk menyediakan landasan ini menandakan betapa pentingnya kami ini, atlit OKU di mata mereka,” katanya lagi.

Beliau yang kini bekerja sendiri turut merangkul emas dalam sukan memanah ketika mewakili Perak ke Sukan Paralimpik Kebangsaan di Kuching, Sarawak baru-baru ini dan menerima insentif RM 10,500 daripada kerajaan negeri.

“Buat adik-adik senasib yang merasa diri sendiri malang atau lemah, malah tidak berdaya, hentikanlah memandang rendah kepada kudrat kita.

“Allah tidak akan beri cabaran yang tidak mampu kita tangani, kita bukan kurang daripada biasa, tapi kita luar biasa,” ujarnya.