PEKAN NANAS : Perpaduan ummah sudah lama terjalin menerusi gabungan empat parti Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan Pusat pada 9 Mei 2018.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) baru sahaja memulakan permuafakatan nasional bersama Pas.

“Ummah tercetus selepas parti pembangkang Pas berpecah disebabkan krisis dalaman parti Islam itu daripada segi pembawaan ideologi politik yang tersimpang sehingga terbentuknya PArti Amanah Negara.

“Kemudian kami yang mempersoalkan pasal salah laku 1MDB pula dipecat sehingga kami membentuk PPBM sebelum serpihan Pas dan UMNO yang pernah bertikam lidah politik bercantum menjadi PH dan menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Kami memang tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku, orang kata kita merancang dan Allah juga merancang, tetapi yang dia merancang akan berlaku, ini tiada siapa boleh merancangnya dan sehingga kini kita duduk semeja.

“Inilah disebutkan sebagai perpaduan ummah sebenar, perpaduan ummah kami sudah buat lama, mereka baru hendak berfikir, dan kumpul di PWTC,” katanya pada Ceramah Kelompok Pusat Daerah Mengundi PH Kampung Sawah Batu 4 dekat sini malam ini.

Sementara itu, beliau meminta pengundi Tanjung Piai supaya memikirkan dasar dan perubahan yang brjaya dibawa PH sepanjang 18 bulan lalu bersama arwah Dr. Md Farid Md Farik di Tanjung Piai.

Tambah beliau, kerusi Tanjung Piai walaupun hanya satu kerusi Parlimen tetapi ia sangat penting untuk PH mengekalkan majoriti dan memudahkan urusan meluluskan sebarang dasar.

Katanya, arwah Farid memiliki rekod perkhidmatan cemerlang dalam tempoih 18 bulan dengan kejayaan mendapatkan RM14 juta untuk pembangunan kawasan.

“Saya dengar daripada orang sini calon BN Wee Jeck Seng dah tiga penggal di kawasan ini dan perkhidmatannya cemerlang sehingga kerajaan berubah pada PRU 14 dan Farid pula juga merekodkan kecemerlangan di kawasan dalam 18 bulan.

“Apa sebabnya ialah kedua-duanya mewakili kerajaan ketika itu dan ini bukan masa untuk pilih pembanhgkang tetapi masa untuk kekalkan wakil yang mewakili parti memerintah ketika ini (PH).

“Jadi formula itu mestilah seornag ahli parlimen yang mudah berurusan dengan kerajaan negeri dan pusat, apa gunanya pembangkang janji tapi habuk pun tidak ada,” katanya.

ADUN Jerlun itu berkata, pelbagai janji yang diberikan pembangkang hanya akan berakhir dengan alasan minta tunggu kerajaan bertukar,” katanya. -MalaysiaGazette